[Seseorang memberitahu anda (yang masih muda belia) bahawa dia telah jatuh
cinta dan ingin memberikan kasihnya kepada anda. Anda terpaku mendengar
bisikan cintanya tetapi pada masa yang sama menyedari bahawa cinta yang
tidak berlandaskan syariat adalah cinta yang sia-sia. Anda tidak bersedia
lantaran menyedari amanah yang perlu dipikul ketika ini bukanlah untuk bercinta
tetapi untuk belajar, tetapi pada masa yang sama sebagai manusia hatimu
berbunga riang setelah menyedari ada pria yang menaruh hati. Anda jadi keliru,
bimbang, resah dan ragu. Anda tidak bersedia untuk bercinta kerana perjalanan
akan datang masih panjang namun dalam hati tetap bimbang mungkinkah ini
jodohku yang telah tertulis untukku? Baca surat ini......dari seorang gadis remaja
yang berusaha menjaga tatasusilanya kepada seorang pria yang juga berbudi
bahasa dan baik akhlaknya.....]
Bismillahhirrahmannirrahim,
( Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani)
Kepada jejaka yang telah menyatakan cinta,
Assalamu'alaikum warahmatullah hiwabarakatuh,
Entah bagaimana dapat saya mulakan bicara ini. Terlalu berat untuk menulis,
terlalu sarat untuk berfikir, sejak dari saudara menyatakan perasaan yang
tak pernah terduga oleh saya...saya jadi keliru, buntu dan malu. Barangkali
sudah terlalu lama saudara menunggu jawapan dari saya, dan setelah saya
berfikir berulangkali, bermunajat memohon petunjuk Ilahi, mohon dikuatkan
hati agar diberi ilham untuk membuat keputusan yang tidak berbelah bagi,
akhirnya saya beranikan diri untuk menulis surat ini. Sesungguhnya ini bukan
surat cinta, tapi entah, anggaplah ia cuma warkah biasa-biasa saja........
Saudara yang masih menanti jawapan,
Bohonglah jika saya katakan saya tidak terkesan dengan lamaran saudara.
Sejak hari pertama saudara menyatakan cinta, saya jadi gundah gulana dan
tidak tentu hala. Entah suka atau sebaliknya, tapi pengakuan saudara telah
membuat saya seperti berada di dunia berbeza. Saya tidak lagi menjadi diri
saya yang sebenarnya!
Sebenarnya, lama sebelum saudara nyatakan rasa kasih dan cinta terhadap
saya, sesungguhnya saya juga memiliki perasaan sedemikian terhadap
saudara. Dalam diam menyimpan rasa kagum melihat teguhnya saudara
menjaga akhlak dan tingkahlaku seorang muslim di tengah-tengah kekalutan
perilaku anak-anak muda ketika ini. Melihat saudara dari jauh membuat
saya berfikir rupanya masih ada anak muda yang berusaha berpegang kepada
agama dalam kesibukan mengejar kenikmatan dunia. Sungguh, dalam diam-diam,
saya mengkagumi saudara malah pernah pula berkata kepada diri sendiri,
alangkah beruntungnya wanita yang akan bertakhta di hati saudara nanti.
Sesekali dapat berbicara dengan saudara membuat saya sangat teruja, terasa
begitu bahagia tanpa saya sangka rupanya saudara juga memiliki perasaan
yang sama.
Saudara yang menantikan jawapan,
Biarpun perasaan itu ada dalam hati saya sejak sekian lama tapi saya tidak
berusaha menyuburkannya. Saya berkata pada diri bahawa perasaan
mengkagumi atau meminati seseorang adalah fitrah semulajadi manusia
yang dikurniakan Allah. Berulangkali saya bisikan pada diri saya bahawa
tanggungjawab saya sekarang adalah untuk menamatkan pengajian,
bukan untuk memikirkan tentang hidup berteman yang saya percaya sudah
ditulis oleh tuhan. Tidak mungkin dapat saya hampakan harapan ibu dan ayah
yang begitu berharap agar saya menjadi contoh kepada adik-adik yang
sedang belajar. Ohh...saya datang dari keluarga susah, bagaimana perasaan
mereka andai mereka tahu bahawa saya telah beralih arah? Tidak mungkin..!
Saya tidak sanggup menghampakan harapan mereka, membuat mereka kecewa
andai saya mengikut kata hati yang masih muda.
Benar, di sekeliling kita, adalah perkara biasa melihat pasangan kekasih
berdua-duaan tanpa tujuan, berpegangan tangan tanpa ada rasa bersalah
kerana membiarkan rasa cinta menjalar tanpa ikatan....
(Saya tidak mahu termasuk dalam golongan itu, saya percaya saudara
juga begitu...)
Saudara nyatakan mahu berkawan dengan saya, oh, itu tidak menjadi halangan
asal saja kita tahu batas sempadan, tidak melanggar hukum tuhan dan tidak pula
lalai dengan keseronokan yang merosakkan. Tapi, benarkah, saudara cuma
mahu berkawan tanpa menyimpan apa-apa perasaan ? Saya tidak percaya.
Saudara yang saya hormati,
Kita manusia biasa lagi masih muda belia. Baik saya mahupun saudara belumpun
mencapai usia dewasa. Kita belum pun berada di usia seperti Nabi tercinta yang
bernikah ketika berusia 25 tahun. Kita sama-sama masih berada di kuliah,
masih lelah dihambat pelbagai tugasan yang mencabar minda, masih tercari-cari
arah sebenar, masih mencari identiti dan membina jati diri. Saya tidak pasti apa
yang ada dalam fikiran saudara ketika ini, tapi saya percaya saudara juga sedang
berusaha mendidik diri ke arah yang lebih baik.
Saudara yang saya kagumi,
Separuh jiwa saya 'hilang' ketika saudara secara jujur menyatakan sayang! Hati
gadis mana yang tidak bergoncang ketika pria yang selalu dikaguminya
tiba-tiba nyata hadir menebarkan salam. Seperti mimpi yang indah, saya
bertanya pada diri saya sendiri adakah ini 'hadiah' dari Allah atau ujian yang
diberikan kepada saya untuk melihat sejauh mana keteguhan jiwa saya dalam
mempertahankan susila dan maruah saya yang belum tercemar. Sungguh, saya
tidak boleh tidur selepas itu, selepas mendengar pengakuan saudara, jiwa saya
benar-benar terganggu !
Saudara yang berhati mulia,
Sudah panjang rasanya saya menulis surat ini. Dapatkah saudara membaca
isi hati saya ketika ini? Tergambarkah di fikiran saudara apa yang cuba saya
sampaikan? Sayalah manusia paling bahagia ketika saudara menyatakan
cinta, namun saya tidak mahu tertipu dengan perasaan semata-mata ! Andai
saya terima lamaran cinta saudara, ke mana arahnya kita bawa rasa cinta dan
sayang itu? Sedang saudara sendiri telah nyatakan , saudara tidak bersedia
untuk menikah dalam tempoh terdekat ini...!
Saudara juga punya wawasan diri untuk mencapai apa yang diimpikan.
Andainya percintaan antara kita hanya sekadar mengisi masa senggang yang
ada, sekadar 'dating' yang sia-sia, sekadar mengikut 'trend' semasa,
sekadar 'berchatting' yang entah apa-apa, saya mohon maaf (dengan
penuh kerendahan hati) saya tidak bersedia. Saya tidak mahu membazirkan
masa dan perasaan saya hanya sekadar untuk 'trial and error'.
Saudara yang berhati mulia,
Berapa sebenarnya harga sebuah cinta ? Cinta saya mahal harganya,
saya tidak menjualnya tapi saya akan berikan kepada yang berhak
saja apabila telah sampai masanya dan apabila saya telah benar-benar
yakin dengan petunjuk dari yang Esa........Saya pun tidak pasti siapa
sidia yang istimewa itu, namun saya yakin ada yang telah tertulis untuk
saya. Bukankah setiap kejadian itu ada pasangannya masing-masing.
Siapa tahu pasangan saya itu adalah saudara ? Andai itu benar-benar
akan terjadi, sayalah bidadari dunia yg sangat bertuah ! ....dan dengan
rela hati memberikan khidmat yang terbaik buat sang raja yg tercinta
tapi saudara, Allah Maha Bijaksana, apa yang terjadi selepas ini
hanya Dia yang mengetahui.................
Saudara yang tinggi pekertinya,
Saya tidak menolak cinta saudara, tidak juga menerimanya, kerana saya juga
tidak mahu saudara hanyut dalam pesona yang memperdaya. Bukankah wanita
boleh menjadi sebesar-besar fitnah kepada lelaki , saya tidak mahu menjadi
fitnah kepada saudara buat masa ini. Jadi, apa yang harus kita lakukan?
Saudara yang lebih tinggi ilmunya dari saya yang jahil ini, buat sementara waktu
ini, sementara kita habiskan amanah yang terpikul di bahu kita, mari kita baiki
diri kita menjadi lebih baik. Moga-moga apabila kita perbaiki iman dan amal
kita dari masa ke semasa, Allah membuka jalan untuk kita bertemu di alam
bahagia yang halal tanpa perlu menghampiri zina, tanpa perlu bergelumang
dosa dan noda.....
Saudara yang dimuliakan Allah,
Sebaiknya kita simpan dulu perasaan ini dalam lubuk hati yang paling dalam.
Jangan kita suburkan kerana andai kita suburkan ia ditakuti syaitanpun datang
menyiramnya dengan titis-titis dosa yang tak terlihat oleh kita lantaran mata kita
telah dihiasi dengan yang indah-indah belaka. Mari kita suburkan dulu hati kita
dengan cinta kepadaNya kerana saya percaya apabila kita letakkan cinta kita
terlebih dahulu pada Yang Esa, Dia tidak akan menghampakan kita. Andai
telah ditulis olehNya akan jodoh kita, pasti kita akan dapat bertemu juga dalam
dakapan kasih yang terpelihara, tapi andai kita tidak diizinNya untuk bersatu,
janganlah kita saling membenci atau menyalahkan takdir. Kita terima saja
ketentuanNya dengan redha agar dengan itu kita akan sentiasa merasa tenang
dan bahagia selalu.....
Saudara seagamaku yang baik hatinya,
Jangan ada benci dalam hatimu setelah membaca surat ini. Jangan dijaja atau
dijadikan bahan untuk dipersenda. Andai engkau tak ingin menyimpannya
pulangkan saja kepadaku agar dapat aku menyimpannya sebagai satu-satunya
kenangan terindah dalam hidupku. Seandainya saudara ingin menyimpannya,
sayalah yang paling gembira kerana itu tandanya saudara mendengar luahan
saya dan menghargainya....... . Sesudah membaca surat ini, saudara
ambillah wuduk dan tunaikan solat sunat 2 rakaat, mohonlah petunjuk dari
Allah agar jiwa dan perasaan saudara tidak terganggu dengan bait-bait kata
yang tertulis di surat ini. Andai saudara tidak boleh tidur selepas ini kerana
dihambat kecewa dan hampa yang bertandang, hamparkanlah sejadah di
tengah malam dan bermunajatlah dalam dingin yang panjang.........
Moga doa kita bertemu dan bersatu dalam resah rindu hanya kepada
Allah yang satu......................
Ya Allah ampuni diriku....... maafkan atas segala kata-kataku yang mungkin
menyinggung perasaan saudaraku yang baik ini............
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
3 days ago
No comments:
Post a Comment