Thursday, November 17, 2011

Inilah kisah cinta paling hebat

Anda suka baca kisah cinta? Romeo and Juliet misalnya atau kisah cinta Shah Jahan dan
isterinya Mumtaz. Shah Jahan begitu menyintai isterinya hingga beliau berjanji membina
mahligai indah sebagai bukti kasih mereka. Akhirnya terbinalah istana Taj Mahal( yg
diambil sempena nama isterinya), menjadi salah satu monumen paling ramai dikunjungi
manusia. Hari ini ada pasangan yg baru berkawin melawat Taj Mahal sebagai simbol
penyatuan cinta mereka. (bilalah saya nak dapat ke sana agaknya....)

Sebenarnya ada lagi kisah cinta paling hebat di dunia ini iaitu kisah cinta baginda
Nabi kita Nabi Muhammad s.a.w dan isterinya Khadijah r.h.a. Semua orang
tahu, Khadijah r.h.a meminang Rasulullah s.a.w kerana terpesona dengan
akhlaknya. Bayangkan bagaimana tingginya akhlak nabi hingga mampu
'mencairkan' hati seorang wanita ahli perniagaan, dari keturunan bangsawan lagi
hartawan sedang nabi hanyalah seorang anak muda yang miskin, yatim piatu dan
keseorangan. Di zaman ini, mana mungkin ahli perniagaan ternama lagi berusia
jatuh cinta pada pemuda biasa yang tak punya apa-apa. Kalaupun ada, orang
mungkin berkata, dia gila atau terkena 'ubat guna-guna'.

Perbezaan usia antara mereka bukanlah halangan untuk mereka membina
rumahtangga bahagia. Rasulullah s.a.w tidak pernah menikahi mana-mana wanita
sepanjang bersama Khadijah. Cinta dan kasih sayang mereka melimpah ruah
hingga Khadijah menyerahkan seluruh jiwa, tenaga, harta dan keluarga demi
membantu kekasihnya menegakkan agama. Khadijah menjaga nabi dengan
penuh kasih sayang, belaian dan sentuhan yang mendamaikan. Dia
mententeramkan jiwa kekasihnya ketika nabi ketakutan selepas didatangi Jibril.
Dia menuturkan kata-kata lembut tapi penuh semangat lagi menghiburkan. Dialah
wanita yang selalu ada di sisi nabi di saat semua orang membencinya.Mulianya
wanita bernama Khadijah ini hingga nabi tak pernah melihat sesuatu yg
menyedihkan darinya. Cinta dan kasih antara dua insan mulia ini begitu utuh
hingga Khadijah tak pernah menyangkal atau mendustakan mahupun
merendahkan apa yg disampaikan nabi.

Kasih Rasulullah s.a.w terhadap Khadijah begitu mendalam. Baginda sentiasa
menyebut kebaikan Khadijah hatta selepas kewafatannya hingga dicemburui
Aisyah. Kata Aisyah:

"Belum pernah aku cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah s.a.w sebagaimana
aku cemburu terhadap Khadijah walhal aku tidak pernah melihatnya.Tetapi
Rasulullah selalu menyebut-nyebut namanya, bahkan adakala menyembelih
kambing lalu diberikan kepada sahabat-sahabat Khadijah. Bahkan aku pernah
berkata ; bukan kah Khadijah itu seorang wanita tua? Bukankah Allah telah
memberimu penganti yang lebih baik, isteri yang lebih muda dan baik darinya?
Rasulullah s.a.w menjawab; Tidak! Demi Allah! Dia tidak memberikan seorang
pengganti yg lebih baik darinya. Khadijah telah beriman kepadaku disaat orang
lain mengingkariku. Dia membenarkan aku ketika orang lain mendustakanku.
Khadijah membantuku dengan menginfakkan seluruh hartanya ketika orang lain
menahan harta dariku dan Allah mengurniakan beberapa zuriatku dari rahimnya
yang tidak diberikan oleh isteri-isteri yang lain " [H.R. Ahmad]

Kewafatan Khadijah meninggalkan kesedihan yang begitu mendalam di jiwa
nabi hingga tahun tersebut dikenali dengan tahun kesedihan. Sekalipun selepas
kewafatannya, nabi selalu mengenang saat-saat indah bersama Khadijah r.h.a.
Mulianya Khadijah hingga Allah mengirim salam kepadanya dan menjanjikan
sebuah istana di syurga.

Di saat-saat akhir kewafatannya, ketika dipangkuan nabi, masih sempat beliau
meminta nabi menggunakan tulang belulangnya untuk agama Allah. Inilah bukti
kecintaan yg tidak berbelah bagi.


Takala anda menangis ketika membaca sebuah novel cinta atau menonton
telenovela , menangislah ketika menghayati perjalanan cinta seorang isteri
yang mengorbankan segala kesenangan, kemewahan dan kemegahan demi
membantu kekasihnya di jalan Allah. Isteri yang setia, patuh dan selalu
berbuat baik terhadap suaminya hingga pemergiannya ditangisi dan dirindui
selamanya. Kerana cinta mereka, legasi Muhammad berkembang ke seluruh
dunia.

Inilah kisah cinta paling hebat.................

No comments:

Post a Comment